Kalut Pelangi : Bab 1

Kopi panas dihirup perlahan -lahan. Wap -wap nipis naik ke atas mengenai muka yang sudah bertahun -tahun wujud. Sedikit menyegarkan dengan haba. Namun matanya tetap tertumpu ke seberang jalan. Cawan kembali diletakan pada meja marmar.

Persatuan Fotografi Alam Ipoh bukanlah persatuan setahun jagung apatah lagi persatuan yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Ditubuhkan pada 17 November 1946, persatuan ini kini mempunyai kira - kira seratus ribu ahli berdaftar. Tujuan utama persatuan ini ditubuhkan adalah untuk menjadi tempat ahli - ahlinya bertukar, berkongsi serta meluahkan koleksi fotografi dan pengalaman mereka.

Bangunan 40 tingkat yang tersergam megah di Astana Raya menjadi mercu tanda kejayaan persatuan ini. Tidak banyak persatuan bertaraf setempat mampu memiliki bangunan setinggi, sebesar dan semewah ini. Status kewangan persatuan ini nampak stabil dengan bangunan ini. Lambang kejayaan dan kemegahan.

Namun Qudus tidak berpandangan sedemikian. Dia merasakan ada sesuatu yang besar sedang berselindung di balik tingginya bangunan Persatuan Fotografi Alam Ipoh ini. Dia tidak pasti apa namun yang pasti ia bukanlah perkara yang baik. Terus sahaja dia merenung ke bangunan tersebut...

***********

Lagu Budi Setahun Segunung Intan berkumandang rancak tatkala para tetamu sibuk menikmati hidangan masing - masing. Pelbagai juadah dari timur, barat, utara dan selatan menjadi santapan kira-kira 200 orang hadirin. Ayam percik, chicken chop,lamb chop, beef steak,bihun kungfu,sate hatta pisang goreng coklat turut disediakan.

Suasana yang agak hingar dengan perbualan tetamu-tetamu menjadi sepi setelah pengerusi majlis mengumumkan kehadiran seseorang. Serentak dengan itu, lagu nyanyian Ahmad Jais dan Kartina Dahari turut menemui noktahnya.

"Diumumkan ketibaan ahli parlimen Ipoh Barat,YB Datuk Seri Karim Burganov merangkap Penaung Persatuan Fotografi Alam Ipoh bersama isteri Datin Seri Aishah Ooi Abdullah"

Para hadirin bangun memberikan penghormatan. DS Karim Burganov dan DS Aishah Ooi Abdullah tenang berjalan daripada pintu masuk dewan menuju ke meja makan. Kelihatan empat orang lelaki sasa berpakaian suit serba hitam mengiringi rapat ahli parlimen itu yang sibuk bersalam-salaman dengan tetamu. 

Kalut Pelangi : Intro

Pedalaman Korea Utara


Malam itu sangat dingin. Sedingin unggas-unggas yang menyepi entah mengapa. Mungkin merajuk dengan alam sekitar yang semakin tidak menentu. Nun jauh di atas kelihatan bintang-bintang yang bercahaya cerah tanpa gangguan awan. Berapa tahun cahayakah diperlukan untuk aku sampai ke sana?

Sambil terketar - ketar di balik ketebalan uniform, jaket dan ghillie suit yang membalut tubuh, aku kembali menjenguk ke skop Leupold 4.5×14 Mark 4 yang dilekatkan bersama skop night vision AN/PVS-22 Pinnacle di hadapannya . Kelihatan dua orang pengawal masih lagi berdiri di pintu pagar dengan AK-47. Sedang bersembang-sembang daripada kumat-kamit mulut mereka . Di dalam kem, tiada lagi sebarang pergerakan luar biasa. Beberapa bangunan masih lagi menyala lampunya. Terdapat dua orang tentera di setiap menara kawalan yang mempenjurui kem. Masing -masing dilengkapi dengan RPK light machine gun dan RPG serta lampu sorot. 

Aku melihat jam tangan. Jarum pendek berada pada angka sembilan dan jarum panjang berada pada angka enam. Sasaran masih belum muncul lagi. Sebenarnya sudah tiga jam aku berada di sini. Menantikan sesuatu yang tidak pasti. Mengikut laporan intel terkini, sasaran akan muncul pada bila - bila masa dalam masa tiga hari untuk bermalam di kem tersebut selepas aku tiba di sini. Berdasarkan gerak hatiku, sasaran memang tidak akan muncul  pada malam ini. Terpaksalah aku kembali ke posisi asal untuk sesi recon siangnya pula. 

Berbekalkan M4 carbine sebagai senjata sekunder serta GPS sebagi panduan, aku berjalan meredah hutan Korean pine yang hidup meliar. Inilah spesis dominan yang mendiami kawasan bukit bukau dan pergunungan Korea Utara. Tanpa bantuan night goggle, berjalan pada waktu malam begini memanglah sedikit sukar. Cahaya bintang terlalu jauh untuk memberikan gambaran laluan perjalananku. Bulan pula entah menghilang ke mana malam ini. Beberapa kali jugalah tersadung tunggul dan batu walaupun kususun langkah perlahan-lahan. Namun aku tetap berwaspada dengan keadaan sekeliling.

Setelah hampir 15 minit berjalan aku tiba jua di main point. Jaraknya kira-kira satu kilometer dari secondary point tadi. Terus sahaja aku memeriksa M107 yang aku gantungkan di dahan pokok. Lebih selamat menyorokkannya di atas pokok berbanding di kawasan tanah. Begitu juga dengan power pack yang terselindung rapi di celah-celah dedaun. Inilah kit kelangsungan hidup aku di sini.

Penat dan letih membuatkan aku mengantuk. Mata wajib dilelapkan sebentar. Sebelum itu, aku telah memasang alat pengesanan parameter di empat penjuru empat segi yang mengelilingi tempat tidurku. Jarak di antara dua sisi yang bersebelahan kira -kira 150 meter. Gajet ini dihubungkan secara terus antara satu sama lain melalui satu pancaran laser halimunan. Boleh dianalogikan seperti tali yang yang diikat mengelilingi empat penjuru. Sebarang objek yang melanggar laser ini akan mengaktifkan bunyi pada earphone pada telingaku. Bunyi ini akan menyedar dan memberikan aku sedikit masa untuk bersedia sama ada untuk melarikan diri atau kalau terpaksa, mempertahankan diri dengan menembak.

 
Dalam kesamaran malam, aku mencari sebatang pokok untuk bersandar. M107 telah berada bersama power pack yang aku galas dibelakang. Kedua- dua skop Leupold 4.5×14 Mark 4 dan AN/PVS-22 Pinnacle telah aku letakkan kembali bersama M107. Di tanganku telah bersiap sedia M4 untuk melepaskan bidikan mempertahankan diri jika berlaku sesuatu luar jangkaan. Memang tidak selesa untuk tidur dalam keadaan begini. Namun dalam situasi darurat seperti di mana nyawa jadi taruhan, keselesaan bukanlah keutamaan. Yang penting aku mesti hidup untuk menjalankan misi. Akhirnya aku terlena jua...

**********

Menurut klasifikasi iklim Koppen, Korea Utara berada dalam zon iklim Hot Summer Continental. Di bawah klasifikasi zon ini terdapat lagi dua subzon yang nyata iaitu Dfa dan Dwa. Negara komunis ini terletak di bawah subzon Dwa bermakna ia mengalami iklim kebenuaan dengan musim sejuk yang kering serta suhu purata bulan terpanas melebihi 22 °C . Antara kawasan atau bandar yang berkongsi ciri -ciri sebegini adalah Beijing (China), Bucharest (Romania), Seoul (Korea Selatan) serta Almaty (Kazakstan).

Nun jauh di kawasan pergunungan Rangrim yang terletak di utara tengah Korea Utara, terdapat seorang rakyat Malaysia. Berselindung di balik ghillie suit yang sudah sebati dengan persekitaran, dia bersiap sedia untuk menjalankan suatu misi. Sabar menanti sasaran yang masih tidak kunjung tiba. Penantian adalah suatu penyeksaan batin yang amat berat. Namun demi tugas dan amanah, dia sanggup mengharunginya walaupun risikonya amat tinggi.

Orang itu adalah aku. Sinar mentari pagi yang terik tetapi kurang panasnya membuatkan aku lebih selesa berbanding malam tadi. Tidak berapa panas dan tidak pula terlalu sejuk. Setelah minum dan makan sedikit, aku kembali menempatkan diri serta M107 ke arah di mana sasaran dijangka muncul. Namun jaraknya bukan dekat, sekitar 1800 meter!

Itulah jarak optimum tembakan sniper rifle M107. Keluaran Barrett Firearms Manufacturing. Mempunyai jarak tembakan maksimum sekitar 6,812 meter. Berkaliber 0.5 inci (12.7mm) serta menggunakan katrij .50 Browning Machine Gun (12.7 x 99mm). Selalu digunakan untuk tugasan anti-material kerana kuasa penembusannya yang boleh merobek logam pada jarak yang jauh.

Sesekali aku melihat menerusi skop untuk memerhatikan jika terdapat kewujudan sasaran. Setakat ini negatif.  Pengawal -pengawal di menara kawalan serta pintu masuk kelihatan santai. Ada yang merokok. Ada yang minum kopi. Keadaan dalam kem nampak tenang. Tiada banyak sangat pergerakan samada daripada manusia mahupun kenderaan. Tiba-tiba aku ternampak sesuatu yang membuatkan adrenalinku bagai dipam-pam ke seluruh tubuh.


















Powered by Blogger.