Kalut Pelangi : Intro

Pedalaman Korea Utara


Malam itu sangat dingin. Sedingin unggas-unggas yang menyepi entah mengapa. Mungkin merajuk dengan alam sekitar yang semakin tidak menentu. Nun jauh di atas kelihatan bintang-bintang yang bercahaya cerah tanpa gangguan awan. Berapa tahun cahayakah diperlukan untuk aku sampai ke sana?

Sambil terketar - ketar di balik ketebalan uniform, jaket dan ghillie suit yang membalut tubuh, aku kembali menjenguk ke skop Leupold 4.5×14 Mark 4 yang dilekatkan bersama skop night vision AN/PVS-22 Pinnacle di hadapannya . Kelihatan dua orang pengawal masih lagi berdiri di pintu pagar dengan AK-47. Sedang bersembang-sembang daripada kumat-kamit mulut mereka . Di dalam kem, tiada lagi sebarang pergerakan luar biasa. Beberapa bangunan masih lagi menyala lampunya. Terdapat dua orang tentera di setiap menara kawalan yang mempenjurui kem. Masing -masing dilengkapi dengan RPK light machine gun dan RPG serta lampu sorot. 

Aku melihat jam tangan. Jarum pendek berada pada angka sembilan dan jarum panjang berada pada angka enam. Sasaran masih belum muncul lagi. Sebenarnya sudah tiga jam aku berada di sini. Menantikan sesuatu yang tidak pasti. Mengikut laporan intel terkini, sasaran akan muncul pada bila - bila masa dalam masa tiga hari untuk bermalam di kem tersebut selepas aku tiba di sini. Berdasarkan gerak hatiku, sasaran memang tidak akan muncul  pada malam ini. Terpaksalah aku kembali ke posisi asal untuk sesi recon siangnya pula. 

Berbekalkan M4 carbine sebagai senjata sekunder serta GPS sebagi panduan, aku berjalan meredah hutan Korean pine yang hidup meliar. Inilah spesis dominan yang mendiami kawasan bukit bukau dan pergunungan Korea Utara. Tanpa bantuan night goggle, berjalan pada waktu malam begini memanglah sedikit sukar. Cahaya bintang terlalu jauh untuk memberikan gambaran laluan perjalananku. Bulan pula entah menghilang ke mana malam ini. Beberapa kali jugalah tersadung tunggul dan batu walaupun kususun langkah perlahan-lahan. Namun aku tetap berwaspada dengan keadaan sekeliling.

Setelah hampir 15 minit berjalan aku tiba jua di main point. Jaraknya kira-kira satu kilometer dari secondary point tadi. Terus sahaja aku memeriksa M107 yang aku gantungkan di dahan pokok. Lebih selamat menyorokkannya di atas pokok berbanding di kawasan tanah. Begitu juga dengan power pack yang terselindung rapi di celah-celah dedaun. Inilah kit kelangsungan hidup aku di sini.

Penat dan letih membuatkan aku mengantuk. Mata wajib dilelapkan sebentar. Sebelum itu, aku telah memasang alat pengesanan parameter di empat penjuru empat segi yang mengelilingi tempat tidurku. Jarak di antara dua sisi yang bersebelahan kira -kira 150 meter. Gajet ini dihubungkan secara terus antara satu sama lain melalui satu pancaran laser halimunan. Boleh dianalogikan seperti tali yang yang diikat mengelilingi empat penjuru. Sebarang objek yang melanggar laser ini akan mengaktifkan bunyi pada earphone pada telingaku. Bunyi ini akan menyedar dan memberikan aku sedikit masa untuk bersedia sama ada untuk melarikan diri atau kalau terpaksa, mempertahankan diri dengan menembak.

 
Dalam kesamaran malam, aku mencari sebatang pokok untuk bersandar. M107 telah berada bersama power pack yang aku galas dibelakang. Kedua- dua skop Leupold 4.5×14 Mark 4 dan AN/PVS-22 Pinnacle telah aku letakkan kembali bersama M107. Di tanganku telah bersiap sedia M4 untuk melepaskan bidikan mempertahankan diri jika berlaku sesuatu luar jangkaan. Memang tidak selesa untuk tidur dalam keadaan begini. Namun dalam situasi darurat seperti di mana nyawa jadi taruhan, keselesaan bukanlah keutamaan. Yang penting aku mesti hidup untuk menjalankan misi. Akhirnya aku terlena jua...

**********

Menurut klasifikasi iklim Koppen, Korea Utara berada dalam zon iklim Hot Summer Continental. Di bawah klasifikasi zon ini terdapat lagi dua subzon yang nyata iaitu Dfa dan Dwa. Negara komunis ini terletak di bawah subzon Dwa bermakna ia mengalami iklim kebenuaan dengan musim sejuk yang kering serta suhu purata bulan terpanas melebihi 22 °C . Antara kawasan atau bandar yang berkongsi ciri -ciri sebegini adalah Beijing (China), Bucharest (Romania), Seoul (Korea Selatan) serta Almaty (Kazakstan).

Nun jauh di kawasan pergunungan Rangrim yang terletak di utara tengah Korea Utara, terdapat seorang rakyat Malaysia. Berselindung di balik ghillie suit yang sudah sebati dengan persekitaran, dia bersiap sedia untuk menjalankan suatu misi. Sabar menanti sasaran yang masih tidak kunjung tiba. Penantian adalah suatu penyeksaan batin yang amat berat. Namun demi tugas dan amanah, dia sanggup mengharunginya walaupun risikonya amat tinggi.

Orang itu adalah aku. Sinar mentari pagi yang terik tetapi kurang panasnya membuatkan aku lebih selesa berbanding malam tadi. Tidak berapa panas dan tidak pula terlalu sejuk. Setelah minum dan makan sedikit, aku kembali menempatkan diri serta M107 ke arah di mana sasaran dijangka muncul. Namun jaraknya bukan dekat, sekitar 1800 meter!

Itulah jarak optimum tembakan sniper rifle M107. Keluaran Barrett Firearms Manufacturing. Mempunyai jarak tembakan maksimum sekitar 6,812 meter. Berkaliber 0.5 inci (12.7mm) serta menggunakan katrij .50 Browning Machine Gun (12.7 x 99mm). Selalu digunakan untuk tugasan anti-material kerana kuasa penembusannya yang boleh merobek logam pada jarak yang jauh.

Sesekali aku melihat menerusi skop untuk memerhatikan jika terdapat kewujudan sasaran. Setakat ini negatif.  Pengawal -pengawal di menara kawalan serta pintu masuk kelihatan santai. Ada yang merokok. Ada yang minum kopi. Keadaan dalam kem nampak tenang. Tiada banyak sangat pergerakan samada daripada manusia mahupun kenderaan. Tiba-tiba aku ternampak sesuatu yang membuatkan adrenalinku bagai dipam-pam ke seluruh tubuh.


















0 Responses

Powered by Blogger.